Thursday, October 14, 2010

Pelbagai perasa dim sum untuk peminat masakan cina




pelbagai perasa dim sum untuk peminat masakan cina

DIM sum, juadah istimewa masyarakat Cina yang wujud sejak tujuh abad lalu lazimnya dijadikan pembuka selera di samping kudapan digemari ramai. Bukan saja digemari masyarakat Cina, bahkan orang Melayu juga menggemarinya, namun ramai yang bimbang untuk menikmati kerana status halal yang diragui.� � Menyedari keenakan makanan itu, pemilik ABM Caterer, Azizi Abidin, 42, mengambil inisiatif untuk mempelajari selok belok membuat dim sum daripada seorang jurumasak berbangsa Cina ketika berkhidmat sebagai tukang masak di sebuah hotel terkemuka di Ipoh.� "Sepanjang 20 tahun pengalaman bekerja sebagai tukang masak di hotel sekitar bandar raya ini, secara tidak langsung saya berminat untuk mempelajari cara untuk membuat juadah istimewa kegemaran masyarakat Cina ini.� "Saya terfikir, memandangkan ramai juga orang Melayu yang sukakan hidangan ini mahupun makanan Cina, tetapi sukar mencari yang halal maka saya membuka restoran ini," katanya ketika ditemui di Ipoh, baru-baru ini.� Beliau menjadi pelopor mengusahakan restoran makanan Cina berstatus halal di Perak dengan menyediakan aneka hidangan unik kaum berkenaan.� Azizi berkata, sewaktu bekerja sebagai tukang masak, beliau pernah terfikir bagi mewujudkan perniagaan makanan dengan menyajikan hidangan unik dan berbeza daripada hidangan biasa yang ada di restoran atau premis makanan milik masyarakat Melayu.� Katanya, beliau amat bertuah kerana seorang tukang masak berbangsa Cina bersetuju mengajarnya selok belok bagi memasak makanan dim sum secara betul dan terperinci.� "Selepas berhenti menjadi tukang masak, saya mula membabitkan diri dengan dunia perniagaan dan menjalankan bisnes perniagaan makanan dim sum secara kecil-kecilan dengan menubuhkan kiosk di bangunan Maju Perak.� "Pada September tahun lalu saya memulakan perniagaan di Wisma Pernama sehingga ke hari ini saya memiliki beberapa kiosk di Maju Perak, Restoran Semenanjung, Tambun (Aziz Tomyam) dan di tama tema Lost World Of Tambun," katanya.� Beliau berkata, antara juadah yang popular di restorannya termasuklah dim sum jenis siew mai (campuran ayam dan udang), udang dan campuran bayam, ayam serta udang.� "Kita turut menjual pelbagai hidangan lazat lain seperti chee cheong fun ala Hong Kong dan pelbagai jenis pau bagi menambah variasi makanan di restoran ini. Semua bahan yang digunakan dalam pembuatan dim sum dan makanan lain adalah halal dan dibuat sendiri di rumah saya dengan dibantu oleh tiga orang pekerja tetap," katanya.� Bapa kepada tiga anak lelaki itu berkata, ABM Caterer juga menyediakan perkhidmatan katering khususnya dalam penyediaan sajian dim sum dan setakat ini sambutan pelanggan sangat memuaskan.� Menjelang Ramadan ini, Azizi berkata, mereka akan membuka empat gerai di bazar Ramadan sekitar Ipoh dan Pulau Pinang iaitu di Medan Gopeng, Stadium Perak, Taman Jati serta di Bayan Lepas, Pulau Pinang.� "Kita menambah gerai sepanjang Ramadan ini untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah. Di samping itu, pembukaan gerai di Pulau Pinang adalah strategi untuk mengembang dan mempromosikan perniagaan ke negeri lain," katanya.� Sementara itu, ketika ditanya apakah keunikan di sebalik nama ABM Caterer, Azizi berkata, idea tercetus daripada nombor plat motosikal kesayangannya, iaitu Honda Novacs yang berkapasiti 125cc.� Katanya, motosikal berkenaan menyimpan pelbagai nostalgia tersendiri dan antara sebab mengapa nombor plat motosikal itu dijadikan nama bagi premis perniagaan ini.� � Pelanggan tetap ABM Caterer, Naim Abd Rashid, 37, dari Simpang Pulai berkata, hidangan dim sum ini ternyata lazat dan beliau mengesyorkan supaya orang ramai mencubanya sendiri bagi mengetahui keenakannya.� "Sebelum ini, saya dan keluarga hanya makan di kedai mamak, namun kali ini kami berpeluang mencuba masakan baru yang diperkenalkan oleh Azizi.� "Kami sekeluarga amat berpuas hati dengan sajian yang dijual kerana berbeza dan unik serta paling penting makanan ini mempunyai status halal yang diiktiraf Jabatan Agama Islam Perak," katanya.Read more: http://eats.emedia.com.my/review.php?id=232#ixzz12OLqPHcD

No comments:

Post a Comment